Tuesday, 1 January 2013

(001) PENGENALAN : INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU NUSANTARA


INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU mempunyai latar belakang sejarah yang agak panjang, istimewa dan unik.  INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU merupakan paksi utama kepada sejarah dan perkembangan TAMADUN MELAYU di NUSANTARA (ALAM MELAYU). INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU bukan sekadar berupaya mengembangkan jaringan kekerabatan, dan mewarisi BANGSA MELAYU dan ETNIK MELAYU di seluruh NUSANTARA, tetapi apa yang lebih signifikan ialah keupayaan INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU ini melakar sejarah mendirikan KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU di NUSANTARA sejak bermula abad masehi lagi meskipun sepanjang perjalanan sejarah berlaku jatuh bangun di kalangan kerajaan-kerajaan berkenaan. Walaupun KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU ini silih-berganti, berkesinambungan, dan mengalami perubahan natijah asakan perkembangan politik semasa, dan arus pemodenan, tetapi WARISAN INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU masih tetap kekal utuh dalam SOSIO-BUDAYA, dan BUDAYA POLITIK masyarakat di NUSANTARA.  

Berbicara tentang INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU tidak hanya berbicara mengenai RAJA-RAJA MELAYU, tetapi turut membicarakan hal-ehwal KERABAT BERGELAR, KERABAT DIRAJA, GOLONGAN PEMBESAR, GOLONGAN BANGSAWAN, PAHLAWAN DIRAJA, dan RAKYAT JELATA. Benarlah bagai dikata : "RAJA-RAKYAT BERPISAH TIADA".   


Tujuan utama membicarakan INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU ini adalah untuk merangsang penulis blog dan para pengunjung blog ini berbicara tentang institusi ini lebih kritis dan mendalam dengan membuat rujukan silang terhadap fakta-fakta, dan menilai pentafsiran sejarah yang ditampilkan sambil sama-sama memahami secara bijkasana kelangsungan INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU di NUSANTARA sejak zaman silam hingga ke hari ini.
SISTEM PEMERINTAHAN BERAJA atau SISTEM PEMERINTAHAN MONARKI adalah bentuk pemerintahan negara yang tertua di dunia.  Meskipun, ada bentuk pemerintahan yang lain yang menjadi pilihan negara-negara tertentu, tetapi SISTEM PEMERINTAHAN BERAJA yang bertapak di NUSANTARA sejak dahulukala mempunyai KEKUATAN, KEBAIKAN, KESIGNIFIKANAN, dan  KEUNIKAN tersendiri.
Perbicaraan mengenai INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU NUSANTARA di blog ini tentunya amat terbatas. Tidak semua perkara dapat diketengahkan kecuali ia dianggap penting untuk dipaparkan untuk pengunjung blog. Sumber-sumber yang digunakan dalam blog ini, sedaya upaya akan menggunakan SUMBER PRIMER, dan SUMBER SEKUNDER yang dianggap berwibawa dan autoritatif. Sumber daripada internet mungkin turut digunakan bagi tujuan rujukan silang atau melengkapkan penulisan ini.  Meskipun begitu, sebagai pengunjung blog anda perlu membuat rujukan silang, dan berkesinambungan mencari kebenaran sejarah. Paling tidak, SEJARAH akan menyedarkan kita, SIAPA DIRI KITA, dan DARI MANA ASAL KITA. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment