Pertabalan SRI TRI BUANA sebagai RAJA dan YANG DIPERTUAN BENTAN
menggantikan WAN SERI BENI telah menjadikan BENTAN ketika itu sebuah KERAJAAN
MELAYU yang baru di NUSANTARA meskipun sebelum itu BENTAN sudah menjadi
KERAJAAN MELAYU sejak beberapa dekad. Di BENTAN bukan sahaja SRI TRI BUANA
merajai KERAJAAN MELAYU, tetapi turut menguasai kawasan-kawasan persekitaran
yang akhirnya menemui sebuah petempatan baru yang dinamakan TEMASIK.
Pada satu ketika, SRI TRI BUANA ingin
membawa isterinya untuk bermian-main di laut sambil melihat persekitaran BENTAN.
SULALATUS-SALATIN menukilkan (2009 : 39-40) :
Maka turunlah ribut barat daya, terlalu besar dengan ombaknya. Maka
berpecahlah sekali perahu (pengiring) yang bersama kenaikan Baginda (Sri Tri
Buana) kecuali hanya (tinggal) tiempat buah perahu juga : (1) Perahu SRI TRI
BUANA, (2) Perahu DEMANG LEBAR DAUN, (3) Perahu MENTERI BUPALA, dan (4) Perahu
BATALA. Empat buah perahu itulah yang tiada bercerai. Maka berapa
dipertimbulkan kenaikan (Baginda) itu tidak mahu kering air ruangnya masih
hingga lutut. Syahadan datanglah ke TELUK BELANGA, maka kenaikan (Baginda
Sri Tri Buana) itu tiadalah tertimba lagi, lalu akan tenggelam. Maka
titah Sri Tri Buana, " Apa yang ada lagi dalam perahu ini, maka tiada ia
mahu timbul ini ? Maka sembah Menteri Bupala, "Pada pendapat patik,
kalau sebab MAHKOTA kudrat itu juga tuanku, maka kenaikan demikian halnya.
Maka diambil MAHKOTA itu lalu diletakkan (dibuang) ke air (laut).
Sekonyong-konyong teduhlah (berhentilah) ribut itu, dan ombak pun tenang
seperti air dalam balang. Maka segala perahu yang banyak itupun datanglah
semuanya berkampung, dan segala ORANG-ORANG BESAR (PEMBESAR NEGERI) turun
merngadap SRI TRI BUANA. Maka berangkatlah SRI TRI BUANA dan ISTERI
melihat TANAH TEMASIK. Dipandang Baginda, terlalu molek perbuatan (keadaan)
tanah itu, (ber) bukit tanahnya, dan rata di atasnya.
Maka Sri Tri Buana bersemayam di bawah pohon Jambu laut, dihadap segala
Orang-Orang Besar berbicara untuk membuat negeri seraya menitahkan rakyat
jelata menebas kayu di situ. Maka segala rakyat pun menebaslah;
sekonyong-konyong melintas SEEKOR BINATANG maha tangkas lakunya merah warna
bulu tubuhnya, kehitam-hitaman kepalanya, dan putih dadanya. sikapnya terlalu
perkasa, besar sedikit daripada kambing randuk. Setelah ia (binatang) melihat
orang banyak itu, lalu ia melompat, ghaib daripada (pandangan) mereka itu. Maka
titah Sri Tri Buana, "Apa nama binatang yang serupa itu ? Maka
sembah Demang Lebar Daun, Tuanku, ceritera orang yang patik dengar, yang
demikian sifat dan kelakuan binatang itu SINGA konon namanya, tuanku."
Maka titah Sri Tri Buana, "Patutlah kita perbuat negeri tempat ini
kerana binatang gagah ada di dalamnya, dan sebutlah TEMASIK ini
SINGAPURA".
Justeru, sah dan nyatalah bahawa RAJA MELAYU yang bernama SRI TRI BUANA
itulah yang membuka dan menamakan TEMASIK itu SINGAPURA. Semasa SRI TRI BUANA
membuat negeri di SINGAPURA itu, belumlah ada penghuni kecuali binatang yang
disebut SINGA itu. Berikutan dengan penemuan negeri baru ini, SRI TRI BUANA dengan
sendirinya menjadi RAJA SINGAPURA 1 dan DEMANG LEBAR DAUN sebagai RAJA
BENDAHARA.
Sumber :
A. Samad Ahmad (2009), SULALATUS-SALATIN (SEJARAH MELAYU), Kuala Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Terima kasih untuk informasi yang padat ini.
ReplyDeleteApa kata tuan letak gambar barulah sedap untuk dibaca.
Sekali lagi terima kasih
YM Raja Ariff Danial. Terima kasih kerana mengunjungi blog ini. Insyaallah, jika ada kesempatan dan sesuai foto2 yang relevan boleh dipaparkan. Teks dalam blog ini akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa apabila rujukan silang dibuat berasaskan sumber-sumber baru yang lebih autentik dan analatikal. Saya turut mengalu-alukan jika ada info baru sebagai nilai tambah kepada teks dalam blog ini. Wassalam.
ReplyDelete