Saturday 23 February 2013

(0066) PAHANG DI BAWAH TAKLUK RAJA ACEH (1618-1641M)

1615M
RAJA BUJANG (Putera SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SHAH III - Raja Johor-Riau) telah dihantar untuk menerajui TAKHTA PAHANG menggantikan Putera Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah (SP XII, 1592-1614M) yang merampas kuasa.

1618M
SULTAN ISKANDAR MUDA DERMA WANGSA PERKASA ALAM SHAH (Raja Aceh Ke-22, 1607-1636M) telah menyerang PEKAN (Hilir Pahang), dan menakluk Pahang setelah RAJA PAHANG kalah berperang.  Meskipun begitu,  sewaktu serangan dan penaklukan Pahang oleh RAJA ACEH ini, ULU PAHANG, khasnya JELAI dan LIPIS di bawah pemerintahan SERI MAHARAJA PERBA@MAHAJA PERBA tidak tergugat sama sekali kerana lokasi Ulu Pahang yang terlalu jauh di pedalaman lagi penuh berbahaya.


FOTO 1 :
SULTAN ISKANDAR MUDA DERMA WANGSA PERKASA ALAM SHAH
RAJA ACEH KE-22, 1607-1636M

Natijah buruan Aceh, RAJA BUJANG (RAJA PAHANG - keturunan Raja Johor-Riau) sempat melarikan diri ke PULAU LINGGA. Ayahanda mertua baginda, SULTAN AHMAD@RAJA ABDULLAH (SP XI, 1590-1591M), dan puteranya RAJA MUGHAL serta 10,000 RAKYAT PAHANG telah dibawa ke ACEH.

Serangan dan Penaklukan oleh ACEH terhadap HILIR PAHANG, terutama KOTARAJAPEKAN menyebabkan ramai para Pembesar Pahang, para Pahlawan@Panglima Pahang, dan rakyat jelata yang terbunuh di samping 10,000 orang rakyat Pahang dibawa ke ACEH.  Sebahagian rakyat HILIR PAHANG juga tidak diragui lari menyelamatkan diri ke ULU PAHANG menyusur Sg. Jelai dari TEMBELING mudik ke hulu mauk ke wilayah pemerintahan SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA@TO' RAJA, dan menyebabkan jumlah rakyat di ULU PAHANG semakin ramai.   

Waktu ini jugalah SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA dipecayai memperkuatkan benteng pertahanan Ulu Pahang, khasnya di JELAI dengan melatih Pahlawan-Pahlawan Jelai yang gagah perkasa.  Waktu ini jugalah pelbagai jenis PENCAK SILAT diajar dan dikembangkan oleh Mahaguru-Mahaguru Silat.  

1620M

PUTERI SAFIATUDDIN, puteri hasil perkahwinan SULTAN ISKANDAR MUDA-PUTERI SENDI RATNA INDRA kemudiannya dikahwinkan dengan RAJA MUGHAL (Putera Pahang).

1621M
Setelah menjadi menantu Sultan Iskandar Muda, RAJA MUGHAL (Putera Pahang) diangkat menjadi PUTERA MAHKOTA ACEH.

Lewat peristiwa ini, SULTAN ISKANDAR MUDA telah menikahi PUTERI KAMALIAH@JAMALIAH (Permaisuri Sultan Ahmad - Pahang) setelah Sultan Ahmad bersetuju untuk menceraikan isterinya, manakala SULTAN AHMAD - PAHANG pula bersetuju untuk menikahi PUTERI SENDI RATNA INDRA (Permaisuri Sultan Iskandar Muda) setelah Raja Aceh itu menceraikan isterinya. 

Sebagai bukti  cinta SULTAN ISKANDAR MUDA kepada PUTERI PAHANG, yakni PUTERI KAMALIAH@JAMALIAH, Baginda telah membina sebuah TAMAN yang dikenali sebagai BANGUNAN GEGUNONGAN@TAMAN PUTERI PAHANG.



FOTO 2 :  TAMAN PUTERI PAHANG - BANDA ACHEH

Dalam hal ini, tidaklah berlebih-lebihan dikatakan bahawa sebahagian daripada nenek-moyang penduduk Aceh sekarang (abad ke-21M) terdiri daripada RAKYAT PAHANG yang ke Aceh itu.  Justeru, sejak abad ke-17M bermulalah hubungan SOSIO-POLITIK dan SOSIO-BUDAYA antara ACEH-PAHANG.

1636M
RAJA MUGHAL (Putera Pahang) telah didaulatkan sebagai RAJA ACEH kE-23 dengan gelaran SULTAN ISKANDAR THANI (1636-1641M). Baginda seorang raja yang adil, berilmu dan kebijaksanaannya bersandar kepada Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.

1641M
SULTAN ISKANDAR THANI - RAJA ACEH mangkat, dan jenazah baginda disemadikan dI MAKAM RAJA-RAJA SEMENANJUNG TANAH MELAYU (Berhampiran dengan TAMAN PUTERI PAHANG).



FOTO 3 : 
MAKAM SULTAN ISKANDAR THANI@RAJA MUGHAL - PUTERA PAHANG (1641M)
BANDA ACEH

Friday 22 February 2013

(0065) RAJA-RAJA PAHANG KETURUNAN RAJA-RAJA MELAKA 1475-1614M)

RAJA PAHANG KETURUNAN LANGSUNG RAJA-RAJA MELAKA

SULTAN MUHAMMAD SHAH (SP I, 1470-1475M)
SULTAN AHMAD SHAH (SP II, 1475-1494M)
SULTAN ABDUL JAMIL SHAH (SP III, 1494-1512M)
SULTAN MANSUR SHAH (SP IV, 1512-1519M)
SULTAN MAHMUD SHAH (SP V, 1519-1530M)
SULTAN MUZAFFAR SHAH (SP VI, 1530-1545M)
SULTAN ZAINAL ABIDIN (SP VII, 1546-1555M)
SULTAN MANSUR SHAH II (SP VIII, 1555-1560M)
SULTAN ABD JAMAL SHAH (SP IX, 1560-1580M)
SULTAN ABDUL KADIR (SP X, 1580-1590M)

SULTAN AHMAD (SP XI, 1590-1591)
Sewaktu SULTAN AHMAD IBNI SULTAN ABDUL KADIR (Sultan Pahang XI, 1590-1591M - zuriat langsung Raja Melaka) naik takhta Pahang, dan bersemayam di Pekan, berlaku kebanjiran masuk beramai-ramai orang-orang Melayu keturunan Minangkabau melalui Ulu Muar, Bera dan Triang ke Negeri Pahang, dan mereka mula membuat petempatan di sepanjang Sg. Pahang, Sg. Jelai, dan Sg. Tembeling. Di Sg. Jelai, orang-orang Melayu Minangkabau ini membuat petempatan bermula dari muara Sg. Jelai (pertemuan ulu Sg. Pahang dan muara Sg. Tembeling) hingga jauh ke pedalaman LIPIS dan JELAI di sebelah utara.

SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (SP XII, 1592-1614M)
Sewaktu Pahang dalam pemerintahan Sultan Abdu Ghafuur Muhiyuddin Shah, pada Jun 1613 Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Raja Aceh) telah menyerang dan menawan Johor.  Sultan Alauddin Riayat Shah III@Raja Mansur, Raja Abdullah (adinda Sultan Alauddin Riayat Shah III), dan BENDAHARA JOHOR TUN SERI LANANG telah dibawa ke Aceh.  

1614M
Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Syah dan puteranya, Raja Abdullah telah mangkat (1614M) diracun oleh putera sultan yang jahat lakunya. Dengan kemangkatan kedua-dua Putera Pahang ini, maka BERAKHIRLAH PEWARIS RAJA-RAJA PAHANG KETURUNAN LANGSUNG RAJA-RAJA MELAKA.

Wednesday 13 February 2013

Tuesday 5 February 2013

(0047) SULTAN MAHMUD SYAH II@MARHUM MANGKAT DIJULANG - RAJA JOHOR-RIAU X (1685-1699)

FEB. 1685M
Setelah mangkat SULTAN IBRAHIM SHAH, puteranya RAJA MAHMUD yang berusia 10 Tahun diangkat sebagai RAJA JOHOR-RIAU X dengan gelaran SULTAN MAHMUD SHAH II, bersemayam di Riau.

Oleh sebab SULTAN MAHMUD SHAH II masih kecil, maka Bondanya (Anak Paduka Tun Abdul Jamil) yang memangku kerajaan, tetapi orang yang sebenar berkuasa dalam KERAJAAN JOHOR-RIAU ialah PADUKA RAJA TUN ABDUL JALIL mengatasi BENDAHARA SERI MAHARAJA TUN HABIB ABDUL MAJID, dan TEMENGGUNG JOHOR (Anak Paduka Tun Abdul Jamil).

1688M
BENDAHARA TUN HABIB ABDUL MAJID kembali berkuasa setelah PADUKA RAJA TUN ABDUL JAMIL dapat disingkirkan daripada kerajaan, dan kemudiannya meninggal dunia di Terengganu.  SULTAN MAHMUD SHAH II yang sudah berusia 13 Tahun selanjutnya telah dibawa bersemayam di KOTA TINGGI oleh Bendahara Johor-Riau. 

1697M 
Sewaktu SULTAN MAHMUD SHAH II berusia 22 Tahun, BENDAHARA SERI MAHARAJA TUN HABIB ABDUL MAJID (Bendahara Johor-Riau) telah kembali ke Rahmatullah, dan beliau dimakamkan di Padang Saujana, Kota Tinggi, Johor. 

Putera Al-Marhum yang bernama TUN ABDUL JALIL kemudian dilantik oleh ORANG-ORANG BESAR JOHOR sebagai BENDAHARA JOHOR-RIAU dengan gelaran BENDAHARA PADUKA RAJA TUN ABDUL JALIL.

SULTAN MAHMUD SHAH II, seorang RAJA JOHOR-RIAU yang amat lemah kerana tidak menghiraukan Pentadbiran Kerajaan Johor-Riau.  Segala hal-ehwal pemerintahan kerajaan dijalankan oleh Bendahara Johor-Riau sahaja.

1699M
Ketika usia Baginda 24 Tahun, SULTAN MAHMUD SHAH II mangkat ditikam oleh MEGAT SERI RAMA kerana Baginda telah membunuh isteri Laksamana yang mengidam dan memakan nangka yang dipersembahkan untuk Baginda.

Peristiwa Pembunuhan Sultan Mahmud Shah II

Pembunuhan ini berlaku sewaktu berangkat pulang selepas Solat Jumaat di halaman Istana Kota Tinggi (Johor).  Laksamana Megat Seri Rama yang kematian isteri dibunuh atas titah perintah Sultan Mahmud Shah II yang bersikap zalim dan bengis.  Dengan kemarahan yang amat sangat lalu laksamana itu menikam perut Baginda Sultan semasa berada di atas usongan.  Sewaktu Baginda mahu rebah, sempat Baginda melemparkan keris kecilnya yang bergambar Jawa Demam kena hujung jari induk Megat Seri Rama.   

Baginda Sultan Mahmud Shah II mangkat tidak lama selepas itu, tetapi Megat Seri Rama meninggal dunia 40 hari kemudian setelah mengamok dalam Istana Sultan (Kota Tinggi) sehingga seorang pun keturunan Sultan Mahmud Shah II tidak ditinggalkannya, habis dibunuh semuanya kecuali ISTERI  Al-Marhum Sultan Mahmud Shah II yang bernama ENCIK PONG (Puteri kepada Dato' Laksamana Maharaja Serkam Johor) yang sempat melarikan diri ke SINGAPURA --- JAMBI --- ke PAGARRUYUNG (MINANGKABAU) di Sumatera.. 

Jenazah Al-Marhum Sultan Mahmud Shah II dimakamkan di Kota Tinggi dengan penuh Adat-Istiadat Diraja. Bagindalah disebut MARHUM MANGKAT DIJULANG.  Peristiwa ini berlaku sekitar penghujung Bulan Ogos 1699M.  Al-Marhum Sultan Mahmud Shah II mangkat dalam usia 24 tahun.

Keberanian Megat Seri Rama menderhaka dan seterusnya membunuh Sultan Mahmud Shah II adalah dengan kebenaran BENDAHARA PADUKA RAJA TUN ABDUL JALIL (Putera BENDAHARA SERI MAHARAJA TUN HABIB ABDUL MAJID) yang menjadi BENDAHARA JOHOR-RIAU ketika itu seperti yang terkandung dalam Buyong Adil (1980), Sejarah Johor, Kuala Lumpur : DBP.
Maka apabila khabar itu (kematian isteri) kepada suaminya (Megat Seri Rama), maka ia (Megat Seri Rama) pun menangislah serta hilang akalnya, meradang sebab marahnya. Maka lalu dia mendapatlan Dato' Bendahara (Dato' Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil), maka dimaklumkan bahawa dia hendak membalas dendam kematian isterinya itu, seraya berkata, "Jikalau Dato' hendak menjadi RAJA. inilah ketikanya, yang diperhamba hendak menderhaka, tiada boleh tiada."  Maka bermesyuaratlah Dato' Bendahara dengan saudaranya Temenggung dan Indera Bongsu, bersatulah mereka membenarkan Megat Seri Rama itu (menderhaka) kerana Orang-Orang Besar Johor pun suka jika Bendahara Johor-Riau menjadi RAJA.  

Monday 4 February 2013

(0046) SULTAN IBRAHIM SHAH - RAJA JOHOR-RIAU VIII (1677-1685M)

1677M
Setelah Sultan Abdul Jalil III@Raja Bujang mangkat (1677M), maka seperti yang telah dipersetuji sebelumnya, maka RAJA IBRAHIM IBNI RAJA BAJAU yang tinggal di Pahang telah ditabalkan menjadi RAJA JOHOR-RIAU bergelar SULTAN IBRAHIM SHAH (1677-1685M). Bendahara Johor-Riau ketika itu ialah BENDAHARA SERI MAHARAJA TUN HABIB ABDUL MAJID.

1678M
Atas gesaan ayahanda mertuanya (Laksamana Tun Abdul Jamil), SULTAN IBRAHIM SHAH telah memindahkan pusat pemerintahannya dari PEKAN (Pahang) ke RIAU.

1679M
SULTAN IBRAHIM SHAH menitahkan mentuanya LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL dan DAENG MENGIKA membawa 300 buah perahu menyerang KERAJAAN JAMBI, dan akhirnya alah KERAJAAN JAMBI. 

Sesudah PERANG JAMBI ini, Sultan Ibrahim Shah mengurniakan mentuanya gelaran PADUKA RAJA TUN ABDUL JAMIL atas jasa-jasanya.  Sejak itu juga, PADUKA RAJA TUN ABDUL JAMIL menjadi ORANG BESAR yang paling berkuasa dalam KERAJAAN JOHOR-RIAU melebihi kuasa Bendahara Johor-Riau.

1681M
Paduka Raja Tun Abdul Jamil atas titah perintah Sultan Ibrahim Shah bersama Angkatan Perang Johor-Riau membantu JAMBI menyerang PALEMBANG.  Setelah menang, Paduka Raja Tun Abdul Jamil telah mengambil semua MERIAM PALEMBANG dan separuh Harta Rampasan dari Palembang ke Johor-Riau.

Sejak tarikh ini juga, PADUKA RAJA TUN ABDUL JAMIL yang bersifat sombong dan bongkak itu telah mengambil semua kuasa pemerintahan KERAJAAN JOHOR-RIAU dengan mengenepikan SULTAN IBRAHIM SHAH dan BENDAHARA JOHOR-RIAU.

1685M
SULTAN IBRAHIM SHAH telah mangkat di RIAU, dan beliau dikenali sebagai MARHUM BONGSU.

Sunday 3 February 2013

(035) SULTAN ABDUL JALIL III@RAJA BUJANG - RAJA JOHOR-RIAU VII (1623-1677M)

1623M
Setelah SULTAN ABDULLAH MA'AYAT SHAH mangkat, Laksamana Tun Abdul Jamil (Orang Besar Johor-Riau) yang paling berkuasa ketika itu telah mengambil kuasa Bendahara Johor-Riau, lalu melantik RAJA BUJANG menjadi RAJA JOHOR-RIAU dengan gelaran SULTAN ABDUL JALIL SHAH III dengan syarat RAJA BAJAU IBNI ALMARHUM SULTAN MA'AYAT SHAH (usia 2 tahun) hendaklah diakui oleh SULTAN ABDUL JALIL SHAH III@RAJA BUJANG sebagai pewaris tahkta Johor-Riau selepas baginda. 

1636M
SULTAN ISKANDAR MUDA (RAJA ACEH KE-22) telah mengangkat menantunya RAJA MUGHAL IBNI SULTAN AHMAD (PUTERA PAHANG DI ACEH) menjadi RAJA ACEH (KE-23) dengan gelaran SULTAN ISKANDAR THANI. Sejak itu, hubungan PAHANG-ACEH menjadi semakin baik kerana Raja Aceh itu menganggap Pahang di bawah takluk baginda.  

Tidak diragui bahawa ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG yang diketuai oleh SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA I di ULU PAHANG telah menjalinkan hubungan baik dengan SULTAN ISKANDAR THANI - RAJA ACEH.

1638M
SULTAN ABDUL JALIL SHAH III@RAJA BUJANG (RAJA JOHOR-RIAU) tidak begitu suka hubungan baik antara PAHANG-ACEH. Oleh itu, baginda telah menghantar angkatan perang menyerang Pahang (Hilir Pahang) sehingga ramai Orang Besar dan Pahlawan Pahang, serta rakyat-jelata terbunuh, dan menderita kesusahan.

Dipercayai juga ULU PAHANG di bawah pemerintahan SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA I tidak terjejas oleh serangan angkatan perang Johor ini bukan sahaja disebabkan lokasi yang jauh di pedalaman Pahang, dan melalui perjalanan yang sukar dan berbahaya, tetapi benteng pertahanan Ulu Pahang yang cukup kuat, terutamanya ANGKATAN PERANG JELAI .

Saturday 2 February 2013

(034) SULTAN ABDULLAH MA'AYAT SYAH@RAJA ABDULLAH - RAJA JOHOR-RIAU VI (1613-1623M)

Disember 1613M
SULTAN ISKANDAR MUDA (RAJA ACEH) telah menghantar satu angkatan Aceh mengandungi 30 puluh perahu besar membawa sekitar 2,000 Tentera Aceh ke Batu Sawar (Johor) di bawah pimpinan Orang Besar Aceh, ORANG KAYA LELA WANGSA untuk membangunkan semula Batu Sawar yang musnah teruk akibat peperangan Aceh-Johor, mengiringi dan menabalkan RAJA ABDULLAH (Adinda Sultan Alauddin Riayat Shah III@Raja Mansor) yang ke Aceh itu menjadi RAJA JOHOR-RIAU.

Manakala BENDAHARA PADUKA RAJA TUN SERI LANANG kekal tinggal di Aceh sambil menyambung kerjanya menyusun dan memperbaiki naskah SULALATUS-SALATIN (SEJARAH MELAYU) yang telah dimulakan di Pasir Raja (Johor) dahulu.  Masa inilah, Tun Seri Lanang berpeluang berkenalan dengan pengarang-pengarang dan ulamak-ulamak Aceh.

(033) SULTAN ALAUDDIN RI'AYAT SYAH III@RAJA MANSOR - RAJA JOHOR-RIAU V (1597-1613M)

 1597M
Bendahara Paduka Raja TUN SERI LANANG hendak menabalkan RAJA ABDULLAH IBNI ALMARHUM SULTAN MUZAFFAR SHAH apabila SULTAN ALI JALLA ABD JALIL II@RAJA UMAR mangkat (1597M), tetapi Raja Abdullah menolak untuk memberi laluan kepada kekandanya (saudara seibu), RAJA MANSOR menjadi RAJA JOHOR-RIAU dengan gelaran SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SHAH III bersemayam di Batu Sawar (Johor).  

613M
SULTAN ISKANDAR MUDA DERMA WANGSA PERKASA ALAM SHAH (Raja Aceh Ke-22, 1607-1636M) telah menghantar angkatan perang yang cukup besar menyerang KOTARAJA BATU SAWAR (Johor).

 

FOTO 1 :
SULTAN ISKANDAR MUDA DERMA WANGSA PERKASA ALAM SHAH
RAJA ACEH KE-22, 1607-1636M

Setelah berperang selama 29 hari, alahlah Johor. SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SHAH III@RAJA MANSOR dan adindanya RAJA ABDULLAH@RAJA RADEN dan BENDAHARA PADUKA RAJA TUN SERI LANANG, serta beberapa orang Panglima Johor-Riau telah dibawa ke ACEH.

 FOTO 2 :
BENDAHARA PADUKA RAJA TUN SERI LANANG
(BENDAHARA JOHOR-RIAU) 

Friday 1 February 2013

(032) RAJA UMAR@SULTAN ALI JALLA ABDUL JALIL - RAJA JOHOR-RIAU IV (1571-1597M)

RAJA UMAR telah diangkat menjadi RAJA JOHOR-RIAU IV (1571M) dengan gelaran SULTAN ALI JALLA ABDUL JALIL SHAH.

Hubungan baik Johor-Aceh menyebabkan Portugis di Melaka menyerang pusat pemerintahan baginda di Kota Johor Lama (1576M & 1578M), tetapi kedua-dua serangan ini dapat ditewaskan oleh Tentera Johor. 

Walau bagaimanapun, SULTAN ALI JALLA ABDUL JALIL SHAH telah mendirikan kerajaannya di Batu Sawar apabila Kota Lama Johor diserang dan tewas di tangan Portugis pada 15 Ogos, 1587M.

Akhirnya, SULTAN ALI JALLA ABDUL JALIL SHAH mangkat di BATU SAWAR (JOHOR).

Sumber :
(1) Asyaari Muhamad (ATMA), Kesultanan Melayu Johor-Riau-Lingga : Sejarah dan Warisannya, Prosiding Seminar Antarabangsa Kesultanan  Melayu Nusantara, Lembaga Muzium Pahang-ATMA (UKM), 2005.